Semasa

Jawatankuasa khas ditubuhkan, KPKM siasat punca kekurangan bekalan beras tempatan

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus menggandakan usaha bagi mencari penyelesaian kepada isu kekurangan bekalan beras putih tempatan

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ketika ini kementeriannya sedang menyusun satu jawatankuasa khas dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengatasi isu berlarutan itu.

“Jawatankuasa ini sedang disusun…dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) (Datuk Seri Isham Ishak) juga akan ambil isu ini sebagai isu yang besar bagi mencari jalan (penyelesaian) terbaik,” katanya ketika ditemui di Shah Alam pada Ahad.

Beliau sebelumnya diminta mengulas isu dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2025) di Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung isu bekalan beras putih tempatan dalam pasaran.

Sementara itu menurut Mohamad Sabu, pihaknya turut melaksana usaha transformasi agensi membabitkan badan berkaitan pengeluaran padi negara termasuk Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi memastikan keberadaan bekalan beras putih tempatan di pasaran.

BACA LAGI: KPKM beri tumpuan perkasa sektor padi, ruminan 

Selain itu rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras juga dilaksana antaranya menerusi pemantapan tatakelola melalui pengasingan kuasa melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Berhad (Bernas)

Bagaimanapun kerajaan jelasnya terus memfokuskan usaha meningkatkan pengeluaran padi di masa hadapan termasuk mempromosikan penanaman padi ala Sekinchan secara besar-besaran selain membuka kawasan-kawasan penghasilan padi baharu.

Related Articles

Back to top button