PM Anwar selamat tiba untuk lawatan rasmi ke Korea Selatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Seoul sempena lawatan rasmi tiga hari bagi mengukuhkan lagi hubungan bilateral antara Malaysia dengan Korea Selatan.
Pesawat khas yang membawa Anwar tiba di Pangkalan Udara Seoul pada jam 9.55 malam (8.55 malam waktu Malaysia) dengan disambut Jurucakap dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Awam Korea Selatan, Lee Jaewoong, Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung Bae dan Duta Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid.
Perdana Menteri kemudian diberikan sambutan rasmi di pangkalan udara berkenaan itu.
Pada lawatan ini, beliau diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang serta pegawai kanan kerajaan.
Lawatan kali ini adalah atas jemputan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol bersempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun depan.
“Pada Isnin (esok), Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dengan Presiden Yoon di Pejabat Presiden Yongsan.
“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan secara terperinci hubungan dua hala Malaysia-Korea Selatan yang secara signifikan telah berkembang, meliputi isu-isu relevan dan penting, sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1960.
“Mereka turut dijangkakan berbincang mengenai isu berkepentingan bersama serantau dan antarabangsa serta bertukar pandangan mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan Korea Selatan sebagai Pengerusi APEC, kedua-duanya pada 2025,” kata Mohd Zamruni dipetik.
Anwar dan Yoon akan turut menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman iaitu mengenai Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Kerjasama dalam Bidang Penangkapan dan Penyimpanan Karbon serta Kerjasama dalam Pendekatan Kerjasama Di Bawah Artikel 6 Perenggan 2 Perjanjian Paris.
BACA LAGI: Lawatan PM Anwar ke Mesir perkukuh kerjasama diplomatik terjalin sejak 65 tahun lalu
Anwar kemudian dijadualkan turut bertemu pemimpin perniagaan utama menerusi Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan selain pertemuan dengan Konglomerat Korea Selatan bagi meneroka peluang ekonomi di Malaysia.
Pada Selasa, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama khas bertajuk “Rakan Strategik dalam Dunia Kompleks: Malaysia, Korea dan Masa Depan Asia” (Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia) di Seoul National University.