Negeri

13 projek tebatan banjir dilaksana, kurangkan risiko di daerah Klang – EXCO Selangor

Kerajaan Negeri Selangor terus melaksana langkah proaktif bagi mengurangkan risiko banjir terutama di daerah Klang.

EXCO infrastruktur negeri, Ir Izham Hashim memaklumkan Dewan Negeri bahawa sejumlah RM493 juta peruntukan disediakan bagi melaksana 13 projek tebatan banjir di daerah itu.

Jelasnya, sebanyak tujuh projek berada dalam proses pelaksanaan membabitkan tebatan banjir Sungai Kandis (32 peratus), Sungai Rasau (28 peratus), Taman Melawis (66 peratus) dan lembangan Sungai Rasau (77 peratus).

Sementara tiga lagi projek turut dilaksana di Sungai Kembong (49 peratus), Sungai Pinang (52 peratus) serta kolam tampungan banjir di Lebuhraya Shahpadu berhampiran Bukit Raja (22 peratus).

“Empat projek dalam fasa prapelaksana ialah projek banjir di Sungai Enam Sementa, sistem saliran Batu 4 Kapar, sistem saliran Batu 4 dan Batu 7 Jalan Bukit Kemuning serta saliran Kampung Johan Setia.

“Semua 11 projek ini membabitkan peruntukan negeri sebanyak RM133.8 juta,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, dua projek tebatan banjir iaitu Seri Muda dan Sungai Kapar dalam fasa pelaksanaan dengan membabitkan dana persekutuan sebanyak RM359.7 juta.

BACA LAGI: KPM siapkan panduan pengurusan bencana banjir hadapi Monsun Timur Laut

Sementara itu Izham berkata, pihaknya sudah meminta semua pihak bekerjasama bagi menyelaras tugasan selain meminta pihak berkaitan mengenal pasti projek yang boleh dinaik taraf untuk mengurangkan risiko banjir untuk sekurang-kurangnya lima tahun ke depan.

“Sebelum ini ada masalah komunikasi antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Ramai beranggapan banjir diurus JPS tapi sebenarnya ada bawah daerah, jalan kampung, parit kampung dan melibatkan PBT. Saya telah bertemu beberapa kali untuk menyelaras,” katanya.

Related Articles

Back to top button