Kerajaan cadang lanjutkan pelaksanaan skim MySalam untuk 2 tahun lagi
Kerajaan Persekutuan sedang meneliti untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan skim mySalam selama tempoh dua tahun lagi sehingga 2025.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu bertujuan memperluaskan perlindungan takaful percuma itu bagi golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan.
Usaha itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan perlindungan insurans dalam menghadapi cabaran kewangan.
“Kerajaan sentiasa peka kepada penglibatan golongan B40 untuk meningkatkan coverage (liputan) yang kita berikan kepada mereka dalam segi insurans.
“Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan sekarang tengah berusaha untuk memanjangkan skim MySalam untuk lagi dua tahun,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut Amir Hamzah, pelanjutan skim itu bagi membolehkan skim baharu yang dapat menyediakan insurans dan takaful mampu diperoleh golongan B40 untuk tempoh jangka panjang dirangka.
Skim mySalam menawarkan perlindungan takaful asas yang merangkumi 2 jenis manfaat, iaitu manfaat hospitalisasi dan manfaat penyakit kritikal.
Bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad, ia melibatkan lebih 9 juta penerima yang sebahagian besar mereka adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
BACA LAGI: KUSKOP bantu 612,692 usahawan sepanjang Januari- September lalu
Dibawah manfaat hospitalisasi, penerima dimasukkan ke wad hospital kerajaan, hospital universiti, dan hospital angkatan tentera layak untuk menuntut pendapatan gantian sebanyak RM 50 sehari, terhad kepada 14 hari atau RM 700 setahun.
Bagi manfaat penyakit kritikal, penerima disahkan mengidap salah satu daripada 45 jenis penyakit kritikal yang tersenarai di mySalam boleh menuntut manfaat bernilai RM 8,000 dari mySalam yang akan dibayar sepenuhnya ke akaun ahli mySalam sekali seumur hidup.