Bantuan untuk petani terjejas banjir akan disalurkan segera – Menteri KPKM
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan segera menyalurkan bantuan kepada petani di negeri yang terjejas banjir.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pegawai di kementerian itu sudah diarah supaya membuat bancian segera kerosakan dan kerugian yang dialami, terutama di Kelantan dan Kedah yang paling teruk dilanda bencana itu.
“Saya akan ke Kelantan, manakala Ketua Setiausaha kementerian (Datuk Seri Isham Ishak) akan ke Kedah.
“Kita dapatkan maklumat sesegera mungkin bagi kita bantu mereka yang mengalami masalah,” katanya selepas menghadiri satu acara di Kuala Lumpur pada Ahad.
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) pada Sabtu menganggarkan lebih 26,000 hektar tanaman padi di kawasan seliaan dan luar jelapang mengalami kerosakan susulan banjir yang melanda Kelantan sejak beberapa hari lalu.
Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak) Zuha Ismail berkata kawasan tanaman padi yang terjejas teruk adalah di Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.
BACA LAGI: Kerajaan akan bangunkan semula sawah terbiar untuk tingkat pengeluaran beras
Sebahagian besar kawasan berkenaan baru siap ditabur benih beberapa minggu lepas manakala sebahagian lagi menunggu waktu untuk dituai.
Sehubungan itu Zuha merayu pihak kerajaanmembantu meringankan kerugian yang ditanggung oleh petani terbabit.