Semasa

Pemimpin veteran bidas MB Terengganu susulan ‘hilang’ ketika tinjauan banjir TPM

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar disifatkan sebagai lebih mementingkan agenda politik berbanding kepentingan rakyat di negeri itu yang ditimpa bencana banjir.

Datuk Mustapha Yaakub yang juga Setiausaha Veteran UMNO berkata, perkara itu terbukti apabila Ahmad Samsuri memilih menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali ke-7 yang diadakan di Shah Alam berbanding bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninjau keadaan banjir di Terengganu pada Sabtu.

“Ahmad Zahid sendiri ada program yang ditetapkan lebih awal bagi merasmian MAT (Mesyuarat Agung Tahunan) Mubarak di Kuala Lumpur tapi terpaksa mewakilkannya kepada Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Bezanya Ahmad Zahid mengutamakan rakyat Terengganu demi rakyat tapi Samsuri mengutamakan parti rakan demi kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kehadiran Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara melawat mangsa banjir di Terengganu tanpa kelibat Menteri Besar.

Situasi itu berbeza ketika Ahmad Zahid turun melawat negeri Kelantan yang terjejas teruk akibat banjir kali ini disambut mesra Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.

BACA LAGI: Mangsa banjir bakal terima bantuan Wang Ihsan dari Kerajaan Persekutuan secara berfasa

Ahmad Samsuri pada Disember 2022 pernah mencetuskan kontroversi apabila “hilang” ketika negeri itu dilanda banjir.

Sementara itu Mustapha menyifatkan Ahmad Samsuri sebagai tiada adab , jelasnya meskipun tidak perlu dilayan seperti tetamu namun kehadiran Ahmad Zahid di negeri itu sepatutnya disambut oleh Menteri Besar meskipun berlainan ideologi politik.

Related Articles

Back to top button