Semasa

KUSKOP tawar moratorium, untuk usahawan terjejas banjir

Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan moratorium pembayaran balik pinjaman kepada usahawan terjejas banjir.

Kementerian itu menerusi satu kenyataan pada Selasa berkata, moratorium bagi tempoh tiga hingga enam bulan itu bagi meringankan beban ditanggung mereka sejajar dengan prinsip kerajaan.

“KUSKOP dimaklumkan terdapat usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tidak dapat mencari rezeki akibat bencana dan koperasi mengalami kerugian akibat kerosakan premis, peralatan dan stok barangan perniagaan.

“Dalam tempoh moratorium, mereka mempunyai masa untuk memberi fokus kepada usaha-usaha pemulihan tanpa memikirkan tekanan kewangan daripada pinjaman yang perlu dibayar,” kata kenyataan itu.

Sementara itu kementerian itu menjelaskan, pihaknya telah menggerakkan misi bantuan awal melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di beberapa lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“TEKUN telah melaksanakan aktiviti penyediaan makanan kepada 1,500 orang mangsa-mangsa banjir iaitu di tiga buah PPS di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

“Di Kedah, penduduk kampung yang terputus bekalan air bersih turut diberi bantuan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Koperasi Melayu Pulau Pinang Berhad yang telah melaksanakan bantuan khidmat masyarakat,” katanya.

BACA LAGI: KUSKOP bantu 612,692 usahawan sepanjang Januari- September lalu

Dalam pada itu KUSKOP memaklumkan pihak kementerian telah merangka pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara besar-besaran selepas banjir pulih dengan pelbagai inisiatif bantuan dan program pembersihan pasca banjir yang akan dilaksanakan oleh Skuad Ihsan MADANI KUSKOP

Manakala usahawan terjejas boleh menghubungi pejabat cawangan agensi-agensi KUSKOP berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan inisiatif-inisiatif banjir yang ditawarkan

Related Articles

Back to top button