Semasa

Jadikan insiden penjual teh dihina sebagai pengajaran untuk semua – PM Anwar

Insiden seorang pendakwah di Indonesia yang didakwa menghina seorang penjual teh perlu diambil sebagai satu pengajaran besar supaya menghindari sikap angkuh dan menghina golongan yang kurang bernasib baik.

“Baru-baru ini, di Indonesia, seorang kiyai (pendakwah) menghina seorang penjual teh dalam ceramahnya sehingga video tersebut tular di media sosial. Ia mencetuskan perbincangan hangat, termasuk teguran keras daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

“Akhirnya, pendakwah tersebut terpaksa memohon maaf secara langsung kepada penjual teh itu.

“Insiden ini membuktikan bahawa keangkuhan boleh wujud bukan hanya dalam kalangan orang awam, tetapi juga mereka yang memahami agama,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesanan itu dititip Anwar pada perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Khamis merujuk insiden tular di media sosial memaparkan pendakwah terkenal Indonesia, Gus Miftah, menghina seorang penjual teh ais di khayalan ramai dengan menggelarnya sebagai ‘bodoh’.

Insiden yang berlaku dalam satu program ceramah di Magelang, Jawa Tengah itu mencetus kemarahan netizen sehingga Presiden Prabowo Subianto turut campur tangan dengan memberi teguran keras menyebabkan pendakwah itu memohon maaf secara terbuka.

Sementara itu Anwar menerusi ucapannya menegaskan, pemimpin kerajaan juga harus mengambil iktibar dari insiden itu bahawa keadilan dan kesantunan adalah asas dalam membangun masyarakat yang harmonis, terutamanya dalam menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.

BACA LAGI: Kerajaan tekad noktahkan kemiskinan termasuk melalui penggubalan Dasar Gaji Progresif

Justeru beliau mahu pemimpin kerajaan memastikan dasar yang dilaksanakan mengambil kira nasib golongan miskin dan bawahan.

“Dalam melaksanakan dasar negara, kita harus memikirkan maknanya kepada mereka yang berada di akar umbi. Jangan hanya memacu pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan, tetapi manfaatnya harus sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button