Jualan Rahmah MADANI diaktifkan ke kawasan terjejas, ringan beban mangsa banjir
Sebagai usaha Kerajaan MADANI untuk meringankan beban mangsa banjir, program Jualan Rahmah Madani (JRM) akan diaktifkan di lokasi terjejas bencana terutama di Kelantan dan Terengganu.
Perkara itu dinyatakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali kepada pemberita selepas menyantuni 83 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Jernih dekat Kemaman, Terengganu pada Khamis.
“KPDN cawangan akan lakukan kerjasama dengan jawatankuasa pengurusan bencana daerah.
“Walaupun jadual jualan Rahmah Madani sudah ditetapkan, kita akan aktifkan di lokasi terjejas banjir bagi membantu masyarakat yang terkesan mendapatkan barangan dengan harga lebih murah,” katanya.
Jualan Rahmah Madani menawarkan barangan keperluan asas harian antaranya beras, ayam, ikan, minyak masak dan barangan lain sehingga 30% lebih murah.
Bagi tempoh Januari sehingga Julai lalu ia telah memberi manfaat kepada lebih 5 juta rakyat bagi tempoh Januari hingga Julai 2024 di seluruh negara.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Armizan memaklumkan kementeriannya telah meluluskan penghantaran bekalan barangan keperluan harian daripada luar kawasan ke negeri yang terbabit banjir kepada 635 pemborong terpilih daerah (DDW).
Sebanyak 635 DDW dan 1,359 peruncit terpilih daerah (DDR) dilantik untuk menyimpan stok bekalan barangan sebanyak 30 peratus melebihi had simpanan ditetapkan.
BACA LAGI: 2TM dapat sambutan, rakyat makin fahami dasar Kerajaan MADANI
Kelulusan itu bukan sahaja terhad kepada penghantaran bekalan barangan keperluan, malah perkhidmatan pengisian bahan api, termasuk diesel dan petrol melalui perkhidmatan pengisian bahan api mudah alih (ROVR).
“Pelan kontingensi ini diberikan bagi mengelak berlakunya gangguan bekalan barangan, sekali gus mengekang peningkatan harga yang keterlaluan disebabkan bekalan berkurangan,” katanya.