Kerajaan MADANI tidak berhasrat perkenal cukai baharu, tegas Kementerian Kewangan
Kerajaan tidak bercadang memperkenal sebarang cukai baharu dalam masa terdekat, tegas Kementerian Kewangan (MoF).
Kementerian itu melalui jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Dewan Negara memberitahu, kerajaan kini fokus kepada usaha meningkatkan pematuhan dan menambah baik sistem cukai sedia ada, selain melaksanakan langkah-langkah cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025.
“Kerajaan terlebih dahulu akan mengambil kira keperluan hasil, kedudukan ekonomi semasa, struktur, batasan dan cabaran sistem percukaian negara secara keseluruhan.
“Ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan dan lebih penting adalah kesan dan kesediaan rakyat,” kata jawapan itu.
Ia bagi menjawab soalan dikemukakan seorang Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri S. Vell Paari yang mahu tahu apakah kerajaan merancang memperkenal cukai baharu.
BACA LAGI: Pentingkan kebajikan rakyat, PBT jangan naik cukai secara mendadak – Nga Kor Ming
Dalam pada itu, MoF memberi jaminan kerajaan akan memastikan langkah-langkah cukai diumumkan bersifat progresif, mudah ditadbir dan tidak memberi impak negatif kepada kos sara hidup.
Kementerian itu menegaskan, kerajaan akan turut memastikan langkah cukai yang membantu pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama dapat menjana hasil yang mampan kepada kerajaan