Pendidikan sebagai asas pembangunan negeri Selangor – Menteri Besar
Kerajaan Negeri Selangor berhasrat menjadikan bidang pendidikan sebagai asas pembangunan baharu di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pertumbuhan mampan dan daya saing negeri bergantung kepada pembangunan modal insan sejajar dengan permintaan industri yang kompleks.
Justeru pembangunan bidang pendidikan memastikan negeri Selangor menjadi lebih lestari dan kekal sebagai gedung ekonomi.
“Dalam dialog dan ucapan sebelum ini, saya secara konsisten menegaskan bahawa kemajuan Selangor mesti berpaksikan dalam ilmu dan pendidikan.
“Malah, dari perbincangan kita dengan pelabur tempatan dan antarabangsa sebelum ini, kebimbangan yang mereka nyatakan adalah sama ada kita mempunyai sumber manusia yang sejajar dengan keperluan pembangunan.
“Jadi untuk menanganinya, pendidikan harus menjadi asas baharu kita untuk daya tahan dan sumbangan berterusan,” katanya.
Beliau berkata begitu pada ucapan perasmian Dialog Shah Alam di Universiti Selangor (Unisel) di Shah Alam pada Khamis.
Dialog Shah Alam dianjurkan Pejabat Menteri Besar dengan kerjasama Unisel, IDE dan SRI diadakan kali kedua selepas penganjuran sulungnya pada 2019, yang ditangguh akibat pandemik Covid-19.
Program itu menampilkan mantan Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai penyampai syarahan utama selain pengisian forum yang mengupas topik memperkasa ekonomi rakyat.
BACA LAGI: Selangor akan gerakkan sukarelawan bantu pembersihan pasca banjir
Sementara itu Amirudin berkata, kejayaan Selangor bergantung kepada kelestarian dalam penghasilan tenaga kerja yang sepadan dengan keperluan industri.
Justeru, penubuhan Institut Penyelidikan Selangor (SRI) dan Institut Darul Ehsan (IDE) adalah bertujuan memajukan pembangunan ilmu dan kemahiran sekali gus memenuhi keperluan tersebut.