Semasa

Gelombang kedua banjir: KPM aktifkan SOP Ops Payung untuk Ujian Amali

Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah di negeri terbabit banjir diarah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan pada Sabtu berkata, ia sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Johor.

Menurut kenyataan itu, semua jawatankuasa diminta melaksanakan tanggungjawab masing-masing berdasarkan surat pekeliling ikhtisas dan surat siaran yang berkuat kuasa serta merujuk Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan KPM yang merangkumi tindakan perlu diambil sebelum, semasa dan selepas banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun mulai hari ini sehingga 14 Disember yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Pahang dan Johor diramal antara tujuh negeri yang dijangka terjejas teruk sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.

Sementara itu menerusi kenyataan sama KPM memaklumkan telah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung bagi menghadapi Ujian Amali Sains Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 9, 10 dan 12 Disember ini.

“KPM komited memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga KPM terpelihara dalam menghadapi bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

BACA LAGI: KDN siap siaga berdepan kemungkinan gelombang kedua banjir

KPM pada minggu lalu melancarkanOps Payung melibatkan calon menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang terjejas banjir berjaya dilaksanakan.

Semua calon terbabit pindahkan ke tempat selamat iaitu ke asrama menerusi bantuan pelbagai agensi, dengan diberi kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer.

Related Articles

Back to top button