Peruntukan baiki sekolah terjejas banjir akan disalurkan segera – Menteri Kewangan II
Kementerian Kewangan (MOF) akan menyalurkan peruntukan segera bagi membaik pulih sekolah yang terjejas akibat banjir.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata langkah itu yang akan dilaksana melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan sekolah terbabit dapat beroperasi semula dengan lebih cepat.
“Kita turun tinjau sekolah terjejas untuk dapatkan maklum balas apa kita yang boleh tolong.
“MOF akan bekerjasama dengan KPM salurkan sedikit peruntukan untuk membaiki semula sekolah dan dapat kembali beroperasi lebih cepat,” katanya.
Amir Hamzah berkata begitu kepada pemberita selepas meninjau Skuad Ihsan MADANI melakukan kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lengkuas di Alor Setar pada Sabtu.
Sementara itu beliau menjelaskan, kementeriannya menghantar 120 ahli pasukan Skuad Ihsan MADANI bagi membantu penduduk yang terkesan dengan musibah banjir di sekitar daerah itu sebagai tanda kebersamaan kementerian dengan komuniti yang diuji dengan musibah.
BACA LAGI: Pendidikan sebagai asas pembangunan negeri Selangor – Menteri Besar
Kerajaan jelasnya sentiasa berusaha memastikan bahawa mereka yang terkesan dengan musibah seperti banjir ini diberikan bantuan dengan segera tanpa banyak birokrasi supaya mereka boleh segera kembali kepada kehidupan harian mereka.
“Selain itu, kita juga ingin mengukuhkan semangat sebagai satu bangsa yang sentiasa prihatin dan tolong-menolong dengan mereka yang dalam kesusahan, ibarat pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya.