Pembinaan pusat data tidak sebabkan kenaikan tarif tenaga – Akmal Nasir
Rancangan pembinaan puluhan pusat data baharu tidak akan menjejaskan bekalan dan tarif tenaga serta air domestik.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pembangunan itu kerana tarif hanya akan berubah mengikut peningkatan harga kos bahan mentah bagi penjanaan tenaga.
“Pusat data memerlukan penggunaan tenaga dan air yang banyak dan konsisten.
“Oleh itu kerajaan sudah memberi mandat supaya segala perancangan dan komitmen baharu mestilah tidak mengganggu keperluan bekalan tenaga sedia ada.
“Kita juga menggalakkan syarikat pusat data untuk menggunakan tenaga boleh baharu serta meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga,” jelasnya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Sesi Pembelajaran Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi Sekolah Pendidikan Prasiswazah UTM, Prof Dr Intan Zaurah Mat Darus dan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Shamsul Ahmad.
Pada 29 Oktober lalu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, Johor kini adalah hab pusat data dengan pembinaan lebih 50 pusat data khususnya melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Malaysia dijangka muncul sebagai hab pusat data terbesar di rantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dengan kira-kira 4 gigawatt (GW) inventori diunjurkan akan dilancarkan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.
BACA LAGI: Pelaburan terus masuk, DAMAC Group rancang tubuh pusat data di Malaysia
RHB Research dalam laporan media sebelum ini berkata, kira-kira 2 GW inventori sedang dalam pembinaan dan komited, sebahagian besarnya di Johor, dengan hampir 3 GW dalam peringkat pembangunan.
Selain menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor tersebut, pembangunan pusat data juga dilihat akan menjadi pemangkin bagi penggunaan tenaga boleh baharu.