Semasa

Kerajaan peduli rakyat, tiada kenaikan yuran Taska, Tabika sesi tahun depan – KEMAS

Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menegaskan tiada kenaikan yuran Taman Bimbingan Kanak-Kanak (tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) bagi sesi persekolahan tahun depan.

“Kemas ingin mengesahkan bahawa tiada kenaikan yuran bagi sesi persekolahan tahun depan.

“Kerajaan MADANI melalui Kemas sentiasa prihatin terhadap bebanan rakyat dan berusaha meringankan kesulitan yang dihadapi masyarakat,” kata jabatan itu menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Penjelasan itu menyusul satu laporan berita dengan tajuk “Yuran taska dan tabika meningkat hingga 25 peratus?”yang disiarkan baru-baru ini yang mencetus kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

Berdasarkan semakan, laporan yang disiar pada Oktober lalu itu memetik kenyataan Penasihat Kehormat Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) yang berkata, kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka.

Kenaikan itu susulan peningkatan kos operasi selain kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Feb tahun depan.

Sementara itu Kemas berharap penjelasan tersebut dapat memberikan keyakinan kepada ibu bapa untuk terus menjadikan premis kemas sebagai pilihan utama pendidikan awal kanak-kanak.

BACA LAGI: KPM sedang jalankan penilaian kerosakan di sekolah terjejas banjir

Untuk sebarang pertanyaan, ibu bapa disarankan untuk menghubungi Ibu Pejabat Kemas Putrajaya di talian 03-88912682.

“Kami berharap ibu bapa kekal tenang dan terus menjadikan premis Kemas sebagai pilihan utama dalam pendidikan awal kanak-kanak,” tambah kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button