Parlimen

RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 diluluskan di Dewan Rakyat

Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Diluluskan secara undian belah bahagi, RUU itu bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia dengan mewajibkan syarikat pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan berlesen melaksanakan langkah mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU itu menjelaskan,RUU itu bertujuan untuk menegakkan keadilan, mengukuhkan akauntabiliti, dan memastikan bahawa teknologi digunakan dengan cara yang positif dan bertanggungjawab.

Dengan mengambil kira kemajuan teknologi telekomunikasi dan persekitaran dalam talian yang lebih mencabar serta berbahaya, justeru tegasnya ada keperluan supaya undang-undang itu diwujudkan.

“Dengan pengguna berpuluh juta, duit berbilion ringgit, takkan (syarikat penyedia) nak berniaga untung sahaja…mereka masuk wilayah kita, kena ada tanggungjawab,” katanya.

Selain melaksana langkah mengurangkan kandungan memudaratkan, RUU itu turut mengandungi peruntukan bagi kewajipan syarikat terbabit menyediakan garis panduan kepada pengguna.

Selain itu pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen juga perlu menyediakan mekanisme bagi pengguna melaporkan kandungan yang dipercayai memudaratkan.

BACA LAGI: 2 RUU berkaitan jenayah buli, termasuk dalam talian diluluskan di Dewan Rakyat

Sebagai rekod, setakat Januari 2024, Malaysia dianggarkan mempunyai 28.68 juta pengguna media sosial bersamaan dengan 83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi negara.

Azalina pada September lalu memberi jaminan RUU baharu ini tidak akan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan keseimbangan dalam hak bersuara termasuk tidak melakukan sebarang kesalahan yang tertakluk di bawah undang-undang negara.

Related Articles

Back to top button