Malaysia-Vietnam akan kongsi kepakaran, teknologi perikanan laut dalam
Sebuah jawatankuasa bakal ditubuhkan bagi merangka model kerjasama perikanan laut dalam antara Malaysia dan Vietnam bagi memanfaatkan sumber laut di perairan kedua-dua negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penubuhan jawatankuasa itu yang akan membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan sudah dipersetujui Kabinet secara dasar.
Perkara itu susulan pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam pada Nov lalu dimana kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam industri perikanan dan maritim.
“Kabinet baru-baru ini telah membincangkan perkara ini hasil daripada idea kedua-dua pemimpin tersebut. Setelah itu, kami secara dasar bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, serta agensi-agensi lain.
“Secara prinsipnya, kerjasama ini bertujuan mencari kaedah model terbaik untuk membolehkan kedua-dua negara berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam teknologi tangkapan ikan laut dalam.
“Selain itu, kedua-dua pihak juga akan menjalankan operasi bersama bagi memastikan keuntungan dapat dinikmati oleh kedua-dua negara,” katanya dalam satu sidang media.
Saifuddin sebelumnya menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya pada Khamis yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman.
BACA LAGI: Nelayan Pantai Timur terjejas monsun bakal diberi bantuan
Mengulas lanjut beliau berkata, konsep kerjasama akan mengambil contoh perjanjian yang ditandatangani di antara Maghribi dan negara Kesatuan Eropah (EU).
“Melalui tandatangan (perjanjian) ini, Sepanyol yang juga negara anggota EU dapat mengusahakan hasil laut di kawasan perairan Maghribi,” tambahnya.