Parlimen

Akta 88 tidak dihapuskan, bakal dipinda agar lebih releven

Kerajaan tidak berhasrat memansuhkan Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) walaupun Akta Kebebasan Maklumat digubal sebagai akta baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen berkata, Akta 88 bakal dipinda selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) sebelum ini.

“Pindaan Akta 88 ini adalah untuk diharmonikan selaras dengan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat. Akta 88 ini tidak wajar dimansuhkan.

“Akta ini berperanan untuk menetapkan tatacara pengurusan dan perlindungan kepada rahsia rasmi kerajaan serta menetapkan hukuman atau penalti kepada mana-mana orang yang disyaki membocorkan rahsia rasmi kerajaan,” katanya.

Ia sebagai jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang mahu tahu apakah Akta tersebut akan dimansuhkan apabila Akta Kebebasan Maklumat digubal kelak.

Sebagai rekod, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat adalah bertujuan meningkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan memberi setiap individu peluang mengakses maklumat berkenaan mana-mana kementerian, jabatan atau agensi kerajaan melalui permohonan yang dikemukakan.

Ia bagaimanapun terkecuali bagi maklumat tertentu seperti data peribadi dan maklumat yang boleh menggugat ketenteraman awam dan negara.

BACA LAGI: Dewan Rakyat luluskan pindaan Akta Profesion Undang-Undang

Sementara itu menurut Dr Zaliha, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Manakala pindaan kepada Akta 88 ini sedang dilaksanakan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri.

Related Articles

Back to top button