KEADILAN Ampang bidas Mahathir, sifatkan kenyataan terhadap Dr Wan Azizah berniat jahat
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Ampang menyanggah kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh.
Setiausahanya, Syafiq Zulkifli berkata, kenyataan Mahathir yang cuba mengheret Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam isu itu adalah tidak berasas, berniat jahat dan bertujuan untuk mencemarkan reputasi Dr Wan Azizah.
“Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Batu Puteh amat jelas menyatakan Tun Mahathir telah membuat keputusan sepihak tanpa persetujuan Kabinet.
“Keadilan Cabang Ampang sentiasa komited untuk menegakkan prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang telah dinyahklasifikasi mendedahkan, Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.
Laporan itu turut mendedahkan, keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah berdasarkan surat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.
Tindakan Peguam Cara Negara yang memaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia tidak berhasrat meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri.
Susulan itu RCI mencadangkan siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
Mahathir bagaimanapun mendakwa keputusan itu diputuskan bersama dalam Mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 23 Mei 2018. Bagaimanapun dinafikan Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
BACA LAGI: Malaysia-Vietnam akan kongsi kepakaran, teknologi perikanan laut dalam
Dalam satu kenyataan bersama mereka menegaskan, keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Kabinet pertama diadakan
“Tun Mahathir perlu bermuhasabah diri sebagai seorang negarawan dan bekerjasama sekiranya ada siasatan seperti saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja kerana isu ini melibatkan kedaulatan negara,” tambah Syafiq dalam kenyataannya.