Negeri

Penggunaan AI akan diperkenal dalam pentadbiran kampung di Selangor

Seiring peredaran zaman, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat memperkenal penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bermula tahun depan.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata pentadbiran kampung tidak boleh ketinggalan perkembangan teknologi semasa bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat disampaikan dengan baik.

“Kita ada pelbagai perancangan antaranya memperkukuhkan pentadbiran JPKK di setiap kampung selain memastikan kampung tradisi juga dapat akses teknologi moden.

“Belanjawan negeri 2025 menekankan teknologi AI. Jadi kita perlu sentiasa mengikut perkembangan semasa agar kampung juga bergerak seiring zaman,” katanya dipetik Media Selangor.

Beliau sebelumnua menghadiri Festival Kampung Tradisi di Dataran Morib di sini hari ini, yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam majlis berkenaan, Amirudin melancarkan Skuad Bakti Desa yang akan diperkenalkan di semua 373 kampung tradisi seluruh negeri bertujuan menyemarakkan aktiviti kemasyarakatan, membantu mengurus mangsa bencana serta menyempurnakan majlis kenduri dan hal kematian.

BACA LAGI: RM20 juta dibelanjakan untuk sokong agenda pertanian Selangor

Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 pada 15 November lalu, Amirudin memaklumkan Selangor bercita-cita untuk menjadikan wilayah utama yang mendalami sektor kecerdasan buatan.

Bagi tujuan itu Selangor bersedia bekerjasama erat dengan pihak industri untuk memanfaatkan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan dalam usaha meningkatkan produktiviti pekerja serta kecekapan pentadbiran kerajaan.

Related Articles

Back to top button