Modul silibus pemulihan pengikut GISBH telah siap dirangka
Jawatankuasa khas sukatan pelajaran pemulihan akidah pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) telah menyelesaikan modul silibus pemulihan bagi golongan terbabit,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa khas diketuai Sarjana Islam yang juga Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Ali@Fadzil itu ketika ini sedang menyiapkan rangka modul khas melibatkan pemimpin-pemimpin peringkat atasan organisasi terbabit.
“Saya ingat telah siap kajian yang dibuat cuma laporan itu belum dikemukakan. Saya dimaklumkan yang semua modul yang melibatkan dewasa, modul yang melibatkan kanak-kanak yang terlibat dalam GISBH ini telah siap.
“Mereka juga tengah menyiapkan rangka modul khas yang melibatkan ketua-ketua pimpinan atas GISBH yang sekarang ditahan, itu pun sedang disiapkan,” katanya Dr Mohd Na’im.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas Program Misi Bantuan Banjir Ihsan Madani di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, di Pokok Sena.
Sementara itu tambah Dr Mohd Na’im, pihaknya akan mendapatkan kebenaran Menteri Dalam Negeri supaya Jawatankuasa yang terlibat boleh bertemu dan berbincang mengenai perkara tersebut.
Menurut beliau, jawatankuasa khas terbabit juga akan membentangkan modul melibatkan ketua-ketua GISBH yang telah siap tersebut.
BACA: 136 kanak-kanak GISBH diselamatkan belum dituntut keluarga
Dr Mohd Na’im sebelum ini berkata, sebanyak tujuh modul silibus bagi pemulihan akidah pengikut GISHB sedang dibangunkan oleh jawatankuasa khas sudah berada di peringkat akhir.
Modul itu meliputi akidah dewasa, akidah kanak-kanak, rohani dan jati diri, Pendidikan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pembangunan remaja, kepimpinan umat insaniah serta modul psikospiritual.