Semasa

KPM perkasa program Tahfiz Model Ulul Albab – Fadhlina

Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) bakal diperkukuh agar selaras dengan pendekatan baharu berikutan permintaan yang tinggi terhadap model pendidikan tersebut.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Kementeriannya akan memberi penekanan kepada kepakaran guru yang mengikuti program tersebut bagi memastikan pelajar akan cemerlang dalam pengajian al-Quran dan hadis serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pemerkasaan TMUA dalam Kurikulum 2027 ini nanti adalah sebagai suatu pengukuhan dimana kita akan melihat kepada soal menambah keperluan tertentu disebabkan permintaan yang sangat tinggi dalam pelaksanaan TMUA ini.

“Sekarang ini ada 15 buah sekolah yang menawarkan program TMUA dan kita sentiasa mendapat permintaan yang tinggi untuk menambah program TMUA ini.

“Namun, pastinya ada kriteria tertentu dengan sekolah-sekolah itu kita mesti persiapkan daripada aspek guru dan juga fasilitinya,” katanya dalam satu sidang media.

Fadhlina sebelumnya hadir ke Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Asrama TMUA sempena Program Ziarah Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau, di Arau pada Selasa.

Bangunan dua blok baharu ini siap dibina pada Oktober lalu dengan kos RM19 juta dilengkapi kemudahan asrama pelajar, dewan makan, bilik Tasmi’ (hafaz), surau, tandas, pejabat warden, rumah warden, bilik utiliti dan kemudahan lain.

“Penyerahan bangunan asrama baharu ini membuktikan iltizam KPM dalam menyemarakkan syiar Islam, memperkasakan TMUA, sekali gus meningkatkan akses pendidikan,” katanya.

BACA LAGI: KPM sedang jalankan penilaian kerosakan di sekolah terjejas banjir

Program TMUA adalah gabungan kurikulum kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan kokurikulum yang dilaksanakan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terpilih dengan menggunakan tiga pendekatan iaitu quranik, ijtihadik dan ensiklopedik.

“Kurikulum Pendidikan Kebangsaan di sekolah yang menjalankan TMUA ini adalah sama seperti sekolah biasa cuma ia ada program khas memberi tumpuan lebih terutamanya kepada program hafazan al-Quran,” tambah Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Related Articles

Back to top button