Global

Malaysia kecam Israel susulan rancangan luas penempatan haram di Bukit Golan

Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rejim Zionis Israel atas keputusan untuk memperluaskan penempatan haram di Bukit Golan dalam wilayah Syria yang diduduki.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan pada Selasa menegaskan, tindakan tersebut terang-terangan melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Syria.

Kenyataan itu turut mengutuk serangan udara dilancarkan Israel dengan menyasarkan pelbagai lokasi di wilayah Syria yang juga merupakan tindakan bertentangan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu Malaysia menerusi kenyataan itu mendesak masyarakat antarabangsa terus memberikan tekanan terhadap rejim tersebut supaya rancangan mereka dapat dihentikan.

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka dengan memastikan rejim Zionis Israel segera menghentikan semua serangan haram mereka serta bertanggungjawab atas pendudukan haram di tanah Syria, selaras dengan Resolusi 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB,” kata kenyataan itu.

Rejim Israel pada Ahad meluluskan rancangan pembangunan demografi untuk menambah populasi pendatang haram Yahudi di Bukit Golan terletak di barat daya Syria yang diduduki Tel Aviv sejak 1967.

Bukit Golan ialah dataran tinggi berbatu kira-kira 60 kilometer (40 batu) di barat daya Damsyik.

Israel merampas Golan dari Syria pada peringkat penutupan Perang Enam Hari 1967 dan menggabungkannya secara unilateral pada 1981 walaupun langkah itu tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dengan Presiden Syria Bashar al-Assad digulingkan, Israel menghantar pasukan daratnya melepasi zon demiliterisasi di sempadan Syria-Israel, menandakan kemasukan pertama rejim Israel ke wilayah Syria sejak Perang Timur Tengah 1973.

BACA LAGI: Malaysia akan terus jadi pembela kepada Palestin

Tentera Israel dilapor telah menguasai tujuh kampung dalam zon penampan dan lima sektor utama di kawasan itu

Sementara itu Wisma Putra menegaskan pendirian Malaysia terus menyokong kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Syria serta bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai keamanan, keselamatan serta kestabilan berkekalan di Syria dan rantau Asia Barat.

Related Articles

Back to top button