Penambahbaikan terhadap sistem pendidikan tinggi sentiasa dilaksana – Menteri
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa melakukan penambahbaikan secara berterusan dan kritikan kendiri dengan melihat pelbagai aspek yang perlu diperkemaskan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada sidang akhbar pembentangan kad laporan pencapaian KPT 2024 di Putrajaya berkata, dunia pendidikan bergerak pantas dan sangat dinamik sekali gus perlu diberi perhatian.
“Kementerian kini sedang merangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 bagi menyediakan kerangka baharu mengenai hala tuju pelajar universiti yang akan menamatkan pengajian di universiti dan politeknik.
“Kerangka baharu itu adalah agenda terbesar KPT kerana membabitkan dasar masa depan pendidikan tinggi negara mengantikan pelan sedia ada yang berakhir hujung tahun 2025,” katanya.
Justeru, jelasnya satu jawatankuasa khas terdiri daripada pelbagai pakar tempatan akan memperincikan pelan itu dalam usaha menentukan hala tuju pendidikan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang mengikut keperluan semasa.
Zambry turut memberitahu, KPT tidak lagi mengambil pakar luar negara untuk merangka sistem pendidikan negara, sebaliknya menggunakan tenaga pakar dalam negara yang sama hebat dengan pakar daripada luar negara.
“Ini adalah perubahan besar dalam sistem pendidikan tinggi negara kerana kita lebih tahu apa keperluan negara di samping boleh mendengar apa yang dilaksanakan di luar negara,” jelasnya.
BACA LAGI: Jumlah rakyat Malaysia terima kadar gaji median meningkat
Pada sidang akhbar tersebut beliau turut mendedahkan KPT berjaya mencapai lima fokus utama ditetapkan bagi tahun ini.
Lima fokus itu adalah membabitkan penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.