Semasa

KKM kaji kaedah penggiliran,tambah baik sistem penempatan petugas

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan kajian berkaitan kaedah penggiliran kakitangan perubatan sebagai usaha menangani krisis kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, pelaksanaan kaedah penggiliran ini bagi memastikan pegawai KKM tidak tertekan sehingga boleh menjejaskan kesihatan mental mereka selain bertujuan menambah baik sistem penempatan pegawai perubatan.

“Sebagai contoh, sekiranya pegawai perubatan ditempatkan di Miri dan ditugaskan di Long Semado atau Long Bemang di Baram, kita tidak akan membiarkan mereka tinggal di kawasan tersebut dalam tempoh yang sangat panjang.

“Sebaliknya, kita akan menggunakan kaedah penggiliran,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai isu kekurangan doktor di kawasan luar bandar dan negeri-negeri lain.

Berdasarkan analisis data perjawatan dan pengisian di KKM setakat 30 Sept lepas, seramai 299,672 petugas kesihatan sedang berkhidmat meliputi 266,898 petugas kesihatan lantikan tetap dan 32,774 adalah petugas kesihatan lantikan kontrak.

Daripada jumlah itu, seramai 7,720 pegawai adalah Pakar Perubatan, diikuti 44,030 Pegawai Perubatan, seramai 7,626 Pegawai Pergigian, 12,775 Pegawai Farmasi, 70,075 jururawat dan 19,798 lagi adalah Penolong Pegawai Perubatan serta bakinya adalah anggota daripada skim perkhidmatan lain.

Sementara itu sebagai mengulas langkah kerajaan memastikan petugas KKM tidak meletak jawatan, beliau berkata pihak kementerian mempertimbangkan mengenai keperluan mewujudkan satu jawatankuasa khusus berikutan terdapat beberapa faktor mempengaruhi peletakan jawatan oleh pegawai perubatan dan pegawai lain di hospital dan klinik.

BACA LAGI: Pelbagai pihak sokong cadangan gubal RUU ‘Good Samaritan Law’

Beliau juga memberi contoh, ada pegawai kontrak yang ditawarkan jawatan tetap di negeri-negeri seperti Pantai Timur, Sabah, dan Sarawak, tetapi menolak tawaran tersebut dan memilih untuk kekal di Semenanjung.

“Ini merupakan sebahagian daripada krisis yang sedang dihadapi oleh pihak kementerian.

“Walaupun demikian, kita sedang berusaha untuk memastikan pengeluaran tenaga kerja tetap berterusan, dan faktor peletakan jawatan ini kadang-kadang dipengaruhi oleh pilihan peribadi pegawai perubatan tersebut,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button