825 sekolah di Selangor terima agihan sumbangan dari kerajaan negeri
Kerajaan Negeri Selangor telah mengagihkan sumbangan berjumlah RM26.5 juta kepada 825 buah sekolah di negeri itu pada tahun.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan di bawah Iltizam Selangor Penyayang itu membabitkan Sekolah Agama Rakyat (SRA), Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Menengah Persendirian Cina dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh.
Ia bagi membantu membaikpulih infrastruktur sekolah sekaligus penyediaan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada guru dan pelajar.
“Semua sekolah diagihkan sebab mereka sudah melalui semua proses termasuk permohonan, saringan… saya dibantu oleh beberapa Exco kerajaan negeri untuk melihat senarai berkenaan, kemudian agihan dibuat.
“Paling tinggi agihan RM50,000, (jumlah ini) terlalu kecil untuk pembinaan sekolah baharu, bantuan ini kebanyakannya lebih kepada naik taraf kemudahan kantin, naik taraf kemudahan pembelajaran dan sebagainya.
“Cuma tahun ini untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, kita ada buat untuk program kelas tambahan yang diaturkan bersama-sama,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 pada Khamis.
Sementara itu Amirudin berkata, bagi tahun hadapan pihaknya mahu memperluas sumbangan itu bukan sahaja untuk tujuan baikpulih infrastruktur tetapi juga pembangunan pendidikan pembelajaran anak anak yang perlu kelas tambahan.
BACA LAGI: Banjir: Selangor bakal sumbang RM500,000 kepada Kelantan
Bagi tujuan itu permohonan akan dibuka bermula 15 Januari depan dan pihaknya berharap agihan dapat diselesaikan pada Jun atau Julai tahun depan.
“Kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif pendidikan seperti bantuan infrastruktur sekolah, biasiswa, dan program sokongan untuk memastikan setiap anak negeri memiliki peluang untuk menimba ilmu, tanpa mengira latar belakang mereka untuk memupuk generasi berilmu,” jelasnya.