Semasa

RUU wajibkan pendidikan hingga sekolah menengah akan dibentang ke Parlimen Febuari depan

Kementerian Pendidikan (KPM) bakal membentangkan Rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pendidikan 1996 di Dewan Rakyat pada Februari 2025.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pindaan itu bagi mewajibkan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah dan draf pindaan itu telah selesai proses semakan di peringkat Jabatan Peguam Negara (AGC).

“…kita sudah ada dasar pendidikan sekolah rendah yang dengan adanya dasar tersebut kita mencapai enrolmen sangat tinggi iaitu antara 98 hingga 99 peratus.

“Dan dasar pendidikan wajib sekolah menengah ini maknanya kita nak zahirkan komitmen kita untuk memastikan tidak berlaku keciciran di sekolah menengah, khususnya menengah atas,” katanya.

Fadhlina ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Putrajaya pada Khamis.

BACA LAGI: KPM perkasa program Tahfiz Model Ulul Albab – Fadhlina

Pada 4 Dis, dilaporkan AGC sedang menyemak draf RUU untuk mewajibkan pendidikan daripada peringkat rendah hingga menengah dalam usaha memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat akses pendidikan yang berkualiti tanpa mengira kepelbagaian latar belakang.

Lanjutan pendidikan wajib kepada 11 tahun persekolahan itu juga bagi memastikan murid menamatkan pendidikan menengah dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan dalam bidang teknikal dan vokasional yang diiktiraf kerajaan.

Related Articles

Back to top button