Kerajaan beri subsidi untuk pengusaha feri, bot mulai Januari depan
Kerajaan mengumumkan pemberian subsidi diesel kepada pengusaha feri dan bot penumpang serta perkhidmatan Roll On Roll Off (roro) di tujuh pulau utama.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, pemberian subsidi itu berkuat kuasa 1 Januari depan bertujuan mengurangkan beban operasi yang ditanggung pengusaha terbabit.
“Pemberian subsidi ini adalah sejajar dengan usaha keprihatinan Kerajaan Madani untuk memastikan keberlangsungan dan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam,” ujarnya menerusi sidang akhbar di Putrajaya pada Jumaat.
Sementara itu beliau memaklumkan, Tujuh pulau terbabit insentif itu adalah Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman dan Pulau Redang serta Pulau Pinang.
Di bawah kelulusan tersebut, pengusah bakal menikmati subsidi diesel pada kadar maksimum 50 sen seliter daripada harga siling diesel bersubsidi yang ditetapkan pada RM2.50 seliter.
Pengusaha yang layak perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan antaranya, mesti berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat bunker atau skid tank yang disahkan oleh pihak berkuasa.
Sementara pengusaha feri, bot dan roro yang layak perlu mengemukakan permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
BACA LAGI: 5 RUU berkaitan aktiviti perniagaan di Labuan diluluskan
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban dalam pada itu memaklumkan, tuntutan subsidi diesel perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) pada setiap bulan.
“Mereka perlu mengemukakan dokumen tuntutan yang disahkan oleh Jabatan Laut ke MoF serta satu salinan kepada Stesen Kastam terdekat untuk proses verifikasi tidak lewat daripada 20 hari bulan bagi bulan berikutnya.
“Tuntutan pertama boleh dikemukakan oleh pengusaha terlibat sebelum 20 Februari 2025,” katanya