Bantuan PKKP kepada pesara terkesan, bukti kerajaan MADANI prihatin
Kerajaan MADANI akan meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang terkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut sebagai usaha dalam menjaga kebajikan mereka selaras konsep Ihsan dibawah pentadbirannya.
“Sebagai komitmen bagi menjaga kebajikan pesara dan penerima pencen terbitan, kerajaan melalui keputusan Jemaah Menteri pada 20 Disember, bersetuju untuk meneruskan pemberian PKKP bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang menikmati PKKP.
“Ia bagi memastikan mereka menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup masa kini,” katanya pada sidang media di Subang Jaya pada Sabtu.
BACA LAGI: Kerajaan pertimbang kenaikan elaun kritikal anggota JBPM – Menteri KPKT
Sementara itu Anwar menyatakan, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember lalu turut membabitkan penyelarasan pencen kepada pesara dan penerima pencen terbitan.
Ia jelasnya berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).
Sehubungan itu, amaun pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026.