Semasa

Kerajaan komited selamatkan mangsa scammer pekerjaan di Myanmar – Menteri Luar

Kerajaan MADANI komited untuk meneruskan usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa scammer pekerjaan di Myanmar.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, atas persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihaknya melantik Duta Khas Malaysia ke Myanmar iaitu bekas Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Othman Hashim untuk berunding dengan beberapa kumpulan tertentu di negara berkenaan.

“Situasi di Myanmar amat sukar, sebelum ini kita boleh berunding tetapi sekarang ini banyak sangat kelompok warlord yang menguasai province (wilayah), mereka mempunyai kekuatan persenjataan.

“Saya tidak janji boleh selamatkan semua … bukan hanya di Myanmar sahaja, di Filipina, di sempadan Segitiga Emas, Thailand, Laos dan Myanmar yang kini menjadi pengeluar dadah terbesar dan wang itulah membiayai warload itu, ini jadi amat sukar,” katanya.

Mohamad Hasan berkata begitu  kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan e-Sport Piala Tok Mat di KIP Mall, Seremban pada Sabtu.

BACA LAGI: RUU anti scammer bakal digubal – Azalina Othman

Dalam pada itu beliau menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran gaji berlipat ganda ditawarkan di media sosial.

Ia bagi mengelakkan menjadi mangsa scammer pekerjaan terutamanya di Myanmar dan negara Asia Tenggara yang lain.

“Baru-baru ini saya sendiri minta seorang rakyat iaitu bekas pelajar universiti (mangsa scammer) menunjukkan bagaimana kecacatan kekal dialaminya, dia diseksa oleh sindiket kerana tidak berjaya menepati atau melakukan tugas diberikan,” katanya sambil berharap ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Related Articles

Back to top button