Menteri KPKM jamin bekalan mencukupi walaupun berdepan banjir
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa negara tidak akan berdepan isu kekurangan bekalan makanan meskipun berdepan cabaran banjir seperti yang berlaku baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kekurangan bekalan boleh diatasi kerana kerjasama baik antara negara Asean membolehkan bekalan makanan diimport bagi memenuhi keperluan.
“Dalam negara Asia ini, nombor satu keterjaminan makanan ukuran United Nations ialah Singapura, kita jatuh nombor dua.
“Singapura bukan ada apa-apa tanaman mereka. Di mana dia dapat ayam? Dia melabur di Johor, di mana dia dapat padi? tentulah dia ada kerjasama di Vietnam ataupun Thailand. Mana dia dapat daging dan sebagainya? Tentulah ada kerjasama dengan Australia.
“Kita sekarang pun perlu begitu dan tidak boleh lagi bergerak secara solo. Ini kerana sesama negara Asean menjalin kerjasama baik, InsyaAllah,” katanya
Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) sebelumnya merasmikan Konvensyen Amanah Johor di Pulai Springs Resort, di Johor Bahru pada Sabtu.
BACA LAGI: Kerajaan wujudkan Jawatankuasa Kluster Indikator Keterjaminan Makanan
Sementara itu Mohamad berkata, walaupun keperluan bekalan makanan boleh dipenuhi melalui kerjasama perdagangan, namun kerajaan tetap berusaha membuka jelapang ketiga dan keempat iaitu di Sarawak dan di Sabah ke arah menjamin sekuriti makanan.
“Premier Sarawak, Abang Johari Openg ambil berat isu ini dan memperuntukkan RM500 juta untuk membangunkan saliran bagi fasa pertama ini.
“Premier Sarawak turut memberitahu dalam masa 10 tahun lagi Sarawak mampu mengeksport beras,” ujarnya.