Politik

AMK Sabah tolak saranan gugur semua kes mahkamah era Mahathir

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menolak gesaan disuarakan Pemuda UMNO Sabah supaya semua tuduhan yang difailkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini digugurkan.

Pengarah Komunikasinya Fekirie Gobet mengingatkan rakan politiknya itu bahawa tabiat lama yang menyaksikan berlaku campur tangan dalam kes mahkamah perlu dihentikan. Justeru jelasnya tidak wajar menggesa kerajaan menyalagunakan kuasanya.

“Pemuda Umno harus meninggalkan amalan lama campur tangan dalam kes mahkamah untuk membebaskan rakan politik mereka,” katanya dipetik laporan FMT.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Sabah Sufian Abdul Karim menggesa pihak pendakwaan menarik balik segala kes yang didakwa di mahkamah ketika era pentadbiran kedua Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU 2018 adalah cacat memandangkan ia dibuat terburu-buru yang digambarkan ‘penuh racun dan permusuhan’.

Sementara itu Fekirie melalui satu kenyataan di Facebooknya menegaskan Kerajaan Madani akan memberikan ruang seluas seluasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mahkamah serta mana-mana agensi menjalankan kerja mereka tanpa campur tangan politik.

BACA LAGI: Pemimpin jangan jadi tokoh pecah belah – AMK

“Ingin kami jelaskan kenyataan Perdana Menteri jelas kes digugurkan adalah kerana kecacatan dan pendakwaan yang terburu-buru, bukan bermakna tidak ada salahguna kuasa berlaku apatah lagi dengan kekayaan dan kemewahan luarbiasa yang dimiliki.

“Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkompromi terhadap rasuah apatah lagi menyalah gunakan kuasanya untuk menggugurkan kes,” katanya.

Related Articles

Back to top button