Bantuan Awal Persekolahan diperluas kepada pelajar tingkatan 6

Kerajaan MADANI memperluas Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, peluasan BAP itu akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.
“BAP diberikan kepada pelajar tingkatan enam buat kali pertamanya dalam sejarah, dan kita mahu anak-anak tingkatan enam ini terus bersemangat.
“Kita harap inisiatif untuk tingkatan enam akan dapat kita tambah baik lagi kerana tingkatan enam ini sangat penting, ia pasca-Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan khususnya untuk menjamin akses pendidikan kepada semua,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu menurut Fadhlina, peluasan pemberian BAP kepada pelajar tingkatan enam adalah cerminan keprihatinan kerajaan Madani untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persediaan keperluan persekolahan.
Ia juga usaha kementerian memperkasa pendidikan dan menggalakkan pelajar memilih pendidikan Tingkatan Enam, selepas SPM.
BACA LAGI: 825 sekolah di Selangor terima agihan sumbangan dari kerajaan negeri
Justeru jelasnya, agihan BAP kepada pelajar Tingkatan Enam sedia ada akan dilaksanakan pada Februari 2025 manakala pelajar baharu akan menerima BAP pada Julai 2025.
Beliau berkata peluasan pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam juga adalah cerminan keprihatinan kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persediaan keperluan persekolahan.