Semasa

KKM pandang serius isu peletakan jawatan kakitangan – Dr Dzulkefly

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengatasi isu peletakan jawatan pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memberi perhatian kepada isu peletakan jawatan lebih 6,000 doktor sepanjang lima tahun lalu termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) kontrak yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap.

Justeru antara strategi sederhana yang dilaksana adalah inisiatif ‘Rakan KKM Partnership’, yang bakal menyaksikan beberapa perubahan.

“Prospek ganjaran yang lebih baik dan fasiliti kesihatan yang dinaik taraf – yang bakal dicapai melalui subsidi silang oleh pendapatan baharu daripada ‘perkhidmatan ekonomi premium ‘#RakanKKM’ – diharapkan dapat meningkatkan insentif untuk mereka kekal dalam sektor awam.

“Langkah jangka pendek termasuk kenaikan dan pelarasan gaji, jadual kerja yang lebih anjal, dan membenarkan amalan lokum. KKM terus komited untuk meningkatkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan, dan serta kebajikan profesional perubatan seluruhnya,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Dr Dzulkefly di Dewan Negara baru-baru ini menjelaskan, antara punca pegawai perubatan meletakkan jawatan kerana memperoleh tawaran bekerja sebagai pensyarah di universiti awam (UA).

Punca lain peletakan jawatan adalah disebabkan masalah peribadi, isu kompetensi dan masalah kesihatan.

BACA LAGI: Pelbagai pihak sokong cadangan gubal RUU ‘Good Samaritan Law’

Sementara itu jelasnya, setakat 30 Jun lalu terdapat 298,853 orang petugas kesihatan berkhidmat di KKM meliputi 266,133 petugas kesihatan lantikan tetap dan sebanyak 32,720 lagi adalah petugas kesihatan lantikan kontrak.

Daripada jumlah itu, seramai 7,638 orang adalah pakar perubatan, manakala 44,155 adalah pegawai perubatan.

Related Articles

Back to top button