Hak pengguna sentiasa dilindungi, KPKD perketat pemantauan aktiviti jualan dalam talian
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa memantau aktiviti perdagangan secara dalam talian untuk melindungi hak pengguna terutamanya menjelang musim perayaan
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam dipetik laporan media berkata, selain pemantauan pihaknya turut memberi amaran keras kepada peniaga terbabit yang melanggar peraturan.
“Sehingga Disember 2024, sebanyak 33 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima KPDN adalah melibatkan transaksi dalam talian.
“Peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun,” katanya.
Beliau sebelumnya mengulas laporan mengenai trend pembelian pakaian secara dalam talian ketika musim perayaan.
Sementara itu tambahnya, KPDN turut memberi perhatian terhadap isu harga tidak adil, iklan mengelirukan dan promosi palsu yang sering menjadi subjek aduan pembeli dalam talian.
Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 menetapkan peniaga wajib mendedahkan maklumat seperti nama peniaga, harga termasuk kos penghantaran, terma pembayaran dan anggaran masa penghantaran.
“Penjual yang sengaja mengelirukan pembeli dengan harga yang tidak sama seperti yang diiklankan akan dikenakan tindakan tegas,” tambahnya.
BACA LAGI: KPDN umum 14 barangan kawalan dibawah SHMMP Krismas
Dalam pada itu Azman menasihati pengguna untuk berhati-hati ketika membuat pembelian secara dalam talian dan perlu mengelak daripada menyokong peniaga yang tidak mematuhi undang-undang.
Pengguna juga digalakkan melaporkan sebarang aktiviti tidak beretika melalui inisiatif KITA GEMPUR dengan aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800, atau aplikasi mudah alih Ez ADU KPDN.