Kerajaan MADANI tidak amal diskriminasi dalam agihan bantuan
Kerajaan MADANI tidak mengamalkan sikap diskriminasi dalam pemberian bantuan termasuk kepada masyarakat India di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata, perkara itu dapat dilihat melalui program bantuan kewangan dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk rumah ibadat komuniti India.
“Peruntukan berkenaan bukan khusus untuk membaik pulih kuil atau gereja sahaja, tetapi ia lebih tertumpu kepada program untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing, khususnya penganut agama yang berkaitan.
“Sebagai contoh, bagi golongan B40 di kawasan berkenaan, mereka mungkin memerlukan kelas tuisyen atau pembelajaran agama dan pembiayaan itu adalah untuk tujuan terbabit sahaja,” katanya kepada pemberita.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh sebelumnya menyampaikan bantuan kepada penerima di Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Rumah-Rumah Ibadat Masyarakat India di Dewan Kalamandap di Brickfields pada Ahad.
Pada majlis itu sebanyak RM3.17 juta disalurkan kepada 90 rumah ibadat masyarakat India merangkumi 89 kuil dan satu gereja di seluruh negara.
BACA LAGI: Ramanan seru masyarakat India tidak lepas peluang disediakan kerajaan MADANI
“Sebelum ini, saya pernah berkhidmat dengan lima Perdana Menteri dan dalam kebanyakan perkara, jika ada program seperti itu, mereka akan hadir di majlis berkenaan.
“Bagaimanapun, Anwar menekankan bahawa tugas atau kerja perlu dilaksanakan walaupun tanpa kehadirannya. Disebabkan itu, kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kami,” tambahnya.