Semasa

Kerajaan tidak kompromi unsur ancam masa depan kanak-kanak, tegas Fahmi

Kerajaan MADANI terus menyokong sepenuhnya usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terpelihara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi satu kenyataan merakamkan ucapan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas pelaksanaan operasi bersepadu Op Pedo, yang bertujuan menjejaki penjenayah seksual terhadap kanak-kanak di pelbagai platform dalam talian.

“Tindakan tegas itu membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk secara dalam talian.

“Kerajaan akan terus menyokong sepenuhnya usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terpelihara serta tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah yang mengancam masa depan mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penahanan13 lelaki tempatan termasuk seorang warga emas di enam negeri yang disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Sementara itu menerusi kenyataan sama Fahmi sekali lagi menggesa semua penyedia platform dalam talian supaya lebih proaktif menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral dan menyalahi undang-undang.

BACA LAGI: RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 diluluskan di Dewan Rakyat

Beliau turut menasihati ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial kanak-kanak terutama yang di bawah umur, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Sama-sama kita melindungi generasi muda daripada segala bentuk ancaman dan eksploitasi,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button