PM Anwar ucap selamat hari Krismas kepada penganut Kristian
Sebarang usaha menanam bibit perpecahan antara kaum mesti dielakkan bagi membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan sempena sambutan Krismas yang disambut hari ini berkata, Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok.
“Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping.
“Sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum mesti dielakkan terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan.
“Nilai dan prinsip keadilan sejagat mesti dilonjak agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa ,” katanya.
Menerusi kenyataan sama Anwar mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada mereka yang menyambut perayaan itu.
Sebagai negara yang beragam dengan rencam ras serta budaya, perayaan besar seperti ini menjadi sumber kekuatan dan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia.
“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” ucapnya.