Kerajaan beri perhatian khusus pacu ekonomi Labuan – Dr Zaliha
Kerajaan MADANI telah merangka pelbagai perancangan dari sudut pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan sedia ada di Labuan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kerajaan akan memberi tumpuan khusus dalam memacu pembangunan infrastruktur dan ekonomi demi kesejahteraan warga pulau itu.
“Berbanding kerajaan sebelum ini, kita memberikan tumpuan yang khusus kepada Labuan.
“Apatah lagi ketika ini saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yakin kita akan meningkatkan usaha-usaha ini,” katanya.
Dr Zaliha sebelumnya mengulas perancangan yang bakal dilaksanakan pada tahun 2025 ketika ditemubual LabuanFM.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara perancangan yang akan dilaksanakan adalah penambahbaikan mutu perkhidmatan yang ada termasuk di Hospital Labuan.
Untuk memanfaatkan potensi pulau itu, tiga pasukan petugas khas telah ditubuhkan bertujuan untuk menumpukan kepada pelancongan, pemindahan kargo dan pembangunan infrastruktur termasuk projek jambatan (Labuan-Menumbok).
“Pasukan ini giat merancang usaha untuk menjadikan Labuan sebagai destinasi utama untuk pelancongan dan perniagaan,”tambahnya,
Dalam pada itu Dr Zaliha memaklumkan, beberapa isu berlarutan yang dihadapi oleh penduduk di Labuan antaranya gangguan elektrik dan bekalan air telah menunjukkan kemajuan.
“Maklum balas daripada orang ramai, gangguan bekalan air dan elektrik telah berkurangan dengan sangat ketara dan pencapaian ini adalah daripada hasil peruntukan yang telah diluluskan pada tahun lalu sejumlah RM300 juta bagi mengatasi masalah tersebut,”kata beliau.