Nilai perpaduan Malaysia akan diketengahkan pada Sidang Kemuncak ASEAN
Kementerian Perpaduan Negara bersedia mengetengahkan model perpaduan Malaysia yang unik pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Timbalan Menterinya K.Saraswathy berkata, usaha mempromosikan nilai perpaduan pada peringkat ASEAN adalah penting terutama apabila Malaysia bersiap sedia untuk memimpin blok serantau itu pada 2025.
“Kami ingin menunjukkan bahawa kami bukan saja melabur dalam sumber manusia dan infrastruktur tetapi juga nilai-nilai yang mendukung perpaduan. Ini adalah sesuatu yang boleh kita ketengahkan pada peringkat ASEAN, terutama konsep kehidupan bersama secara harmoni,” katanya dipetik temubual bersama Bernama.
Sementara itu beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menjelaskan, Malaysia walaupun sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya serta etnik mampu mengekalkan tahap perpaduan dan persefahaman sangat tinggi dalam kalangan rakyat.
Kekuatan Malaysia jelasnya bukan saja terletak pada ketiadaan ketegangan kaum tetapi juga keupayaan negara memupuk keamanan dan keharmonian.
“Apabila kita bercakap mengenai perpaduan, ia bukan sekadar ketiadaan perpecahan. Di sesetengah negara, mungkin tiada perpecahan nyata tetapi wujud ketegangan atau kebencian antara kaum. Itu tidak berlaku di Malaysia.
“Kita telah membentuk masyarakat yang berpaksikan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya yang turut menganggap ia sebagai salah satu faktor yang mempengaruhi pelabur untuk mengembangkan operasi mereka di negara ini.