Semasa

Penetapan kadar denda jenayah alam sekitar antara kejayaan NRES tahun ini – Nik Nazmi

Penetapan kadar denda baharu sebanyak RM10 juta bagi penjenayah alam sekitar disifatkan antara kejayaan utama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada tahun ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkongsikan perkara itu menerusi rumusan pencapaian pasukan NRES untuk tahun 2024.

“Akta ini, yang kali terakhir dipinda sejak 1974, kini menetapkan denda maksimum bagi jenayah alam sekitar dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM10 juta, selain hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun,” katanya.

Selain itu beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa menjelaskan, pada tahun ini kementeriannya juga turut meningkatkan aktiviti penguatkuasaan perlindungan hidupan liar, termasuk spesies Harimau Malaya.

Ia dilaksana melalui penambahan bilangan renjer komuniti kepada 1,924 orang pada 2024 membabitkan peruntukan berjumlah RM60 juta.

“NRES turut melaksanakan pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.

“Kira-kira 350,000 hektar kawasan di daratan dan lautan pula telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan baharu setakat September lalu di bawah insentif Ecological Fiscal Transfer (EFT),” tambahnya.

Menerusi perkongsian sama beliau memaklumkan kejayaan Program Penghijauan Malaysia, melalui penanaman 100 juta pokok.

Program itu jelasnya berjaya diselesaikan setahun lebih awal daripada jadual, dengan pokok ke-100 juta ditanam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pada tahun ini juga kementeriannya telah memperkenal Inisiatif bantuan kewangan bagi kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar, yang diperkenalkan pada tahun ini.

Setakat September, seramai 130 pemohon jelasnya telah menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan melebihi RM410,000.

Related Articles

Back to top button