Kerajaan Pulau Pinang tawar pengecualian denda tunggakan cukai tanah
Kerajaan Pulau Pinang memberi tawaran pengecualian tunggakan bayaran denda cukai tanah dan cukai petak sehingga 100 peratus kepada pemilik.
Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pengecualian sebanyak sebanyak 100 peratus akan diberikan kepada pemilik yang membuat bayaran cukai masing-masing mulai 2 Januari sehingga 28 Februari depan.
Manakala pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 50 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak yang membuat bayaran mulai 1 Mac sehingga 31 Mei depan.
“Kedua-dua insentif serta tawaran tersebut turut dipanjangkan kepada pemilik tanah atau pemilik petak yang telah menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak).
“Tawaran ini juga bukan berbentuk retrospektif serta tidak boleh dinikmati oleh pemilik tanah atau petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengecualian dan pengurangan ini dikuatkuasakan,” katanya.
Kenyataan itu turut menjelaskan, tawaran pengecualian dan pengurangan tunggakan cukai tanah serta cukai petak dinyatakan tidak dipanjangkan kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran.
Sementara itu Pejabat Ketua Menteri memberitahu, Insentif diskaun yang diberikan bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan pemilik petak membayar cukai tanah serta cukai petak bagi tahun 2025 pada tempoh lebih awal.
Selain itu, ia bagi meringankan beban pemilik tanah serta pemilik petak yang memiliki tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak tinggi akibat tunggakan tidak membuat pembayaran sebelum 31 Mei setiap tahun.