Wisma Putra pantau situasi di Mozambique, pastikan rakyat Malaysia selamat
Tiada rakyat Malaysia di Mozambique terjejas dalam pergolakan yang berlaku di beberapa kawasan di negara itu, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).
Menerusi satu kenyataan pada Khamis Wisma Putra berkata, pihaknya sedang memantau kekacauan serta rusuhan yang berlaku dan sentiasa berhubung dengan 20 rakyat Malaysia yang menetap di Mozambique melalui Konsul Kehormat di negara itu secara berkala.
Rusuhan penjara di Maputo pada Rabu menyebabkan 33 orang maut dan 15 cedera ketika pergolakan awam yang dikaitkan dengan pilihan raya yang dipertikaikan pada Oktober berterusan.
Keputusan pada Isnin oleh mahkamah tertinggi Mozambique yang mengesahkan kemenangan parti pemerintah Frelimo dalam pilihan raya itu telah mencetuskan bantahan baharu di seluruh negara oleh kumpulan pembangkang dan penyokong mereka, yang mendakwa undian itu dimanipulasi.
Sementara itu Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang kini berada di Mozambique atau mereka yang memerlukan bantuan, untuk mendaftarkan kehadiran mereka dengan Suruhanjaya Tinggi melalui E-Konsular dan sentiasa berhubung dengan misi itu.
“Kementerian tetap komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara dan akan memberikan maklumat terkini sekiranya diperlukan,” katanya.
Untuk rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh hubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria di No. 1007, Francis Baard Street, Arcadia, Pretoria 0083 atau hubungi +27(12)3425990 atau e-mel [email protected].
Kenyataan itu turut menasihatkan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk pergi ke Mozambique supaya menangguhkan rancangan perjalanan mereka pada masa ini.