Semasa

6,611 projek pembangunan dan infrastruktur dilaksana KPKT sepanjang 2024

Sebanyak 6,611 projek pembangunan dan infrastruktur untuk rakyat telah berjaya dilaksana Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepanjang tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, projek membabitkan perbelanjaan hampir RM1 bilion itu adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu yang merekodkan 5,196 projek.

“Projek yang dilaksanakan tahun ini meliputi 20 projek berskala besar, projek berskala kecil (3,697) projek pembangunan gerai dan kiosk (357) dan satu projek pendigitalan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Manakala 362 projek lagi telah dilaksanakan di bawah Inisiatif Belanjawan 2024 meliputi peningkatan tahap kesihatan gerai, warung kecil sebanyak 87 projek, sistem perparitan dan longkang 93 projek dan penyelenggaraan kolam takungan banjir sebanyak 182 projek,” katanya sempena program Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di Parlimen Tambun di Ipoh pada Jumaat.

Sementara itu beliau turut memaklumkan kementeriannya turut menaik taraf infrastruktur awam dan bina baharu termasuk kampung baru cina melibatkan 2,168 projek dan geran pembangunan sosioekonomi sebanyak enam projek.

Pembangunan Parlimen Tambun yang merupakan kawasan diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut diberi perhatian apabila kementeriannya meluluskan RM168.7 juta melibatkan 107 projek.

“Kejayaan besar KPKT dalam menjayakan projek berimpak tinggi kepada rakyat adalah disokong tatakelola pentadbiran kerajaan yang baik serta pimpinan yang berintegriti.

“Komitmen ini membuatkan kita mampu melaksanakan langkah penjimatan terhadap setiap projek, mengurangkan ketirisan, pemborosan dan penyelewengan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button