Kerajaan pastikan kebajikan anggota beruniform terus terbela, tegas menteri KDN
Kerajaan akan terus memastikan kebajikan anggota pasukan beruniform sebagai keutamaannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi satu hantaran di laman media sosialnya berkata, kementeriannya sudah melaksana pelbagai inisiatif sepanjang tahun 2024 bagi menambah baik kebajikan golongan yang digambarkan sebagai ‘Hero Tak Didendang’ itu.
“Pastikan kebajikan anggota uniform sentiasa dijaga dan terbela. Ini antara pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa saya menerima lantikan sebagai Menteri Dalam Negeri.
“Alhamdulillah, saya telah usahakan beberapa inisiatif buat anggota beruniform di bawah KDN semenjak dua tahun saya memegang tangggungjawab ini,” katanya.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, antara inisiatif dilaksanakan adalah intensif untuk anggota teknikal, intensif untuk pengendali anjing serta insentif detektif dan penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM)
Selain itu sebanyak 26 projek penambahbaikan pejabat dan kuarters turut dilaksanakan antaranya melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Tambah beliau, turut terlibat Jabatan Pendaftaran Negara, Kawasan Keselamatan Khas Malaysia Pantai Timur Sabah/ESSCOM, Jabatan Imigresen Malaysia dan APMM.