Negeri

Selangor sasar transaksi RM11.7 bilion sepanjang TMS2025

Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) dirancang lebih meriah dengan pelbagai acara dan program menarik akan diadakan di setiap daerah di negeri itu.

EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Datuk Ng Suee Lim berkata, sehubungan itu kerajaan negeri meletak sasaran potensi nilai transaksi sebanyak RM11.7 bilion dengan kehadiran lapan juta pelancong.

“Sasaran itu boleh dicapai mengambil kira persiapan rapi dari segi perancangan aktiviti, program dan infrastruktur pelancongan sekali gus mampu menerima kehadiran lapan juta pelancong sebagaimana sasaran.

“Dari segi projek berkait infra pelancongan, kita telah pastikan semuanya dilaksanakan sejak tahun lepas dan saya nampak pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penggiat industri juga telah siap sedia untuk menerima seramai mungkin kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak seperti Adun, Ahli Parlimen, PBT, agensi pelancongan dan sebagainya kita akan terus hebahkan dan seterusnya capai atau melebihi sasaran ditetapkan,” katanya.

Ng yang juga ADUN Sekinchan berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan ISP, Nourish With Hope, ISP Cares! di Sungai Besar pada Jumaat.

Mengulas mengenai CSR itu beliau berkata ia akan berlangsung hingga 2026 dengan melibatkan pemberian beg makanan kepada 30 keluarga kurang berkemampuan selain pemberian baucar barangan runcit sebanyak RM300 secara bulanan kepada 120 keluarga membabitkan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM216,000.

Related Articles

Back to top button