Semasa

KPKM jamin bekalan kelapa cukup untuk musim perayaan akan datang

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang memperhebat galakan bagi memperbanyakkan lagi tanaman kelapa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, walaupun bekalan kelapa bagi keperluan perayaan awal tahun depan adalah mencukupi, usaha memperhebatkan penanaman kelapa perlu bagi memastikan pengeluaran ditingkatkan sekaligus memenuhi permintaan yang tinggi.

“Sekarang harga santan agak tinggi dan kita akan menyambut perayaan Tahun Baharu China, kemudian Ramadan dan juga Hari Raya yang berturut turut.

“Jadi kita haraplah penaman-penaman kelapa yang ada sekarang ini berusaha supaya hasil mereka lebih tinggi untuk memenuhi permintaan tempatan kelapa itu,” katanya pada Sabtu.

Beliau sebelumnya menghadiri lawatan ke Taman Agro Duriotourism di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar yang turut dihadiri Pengerusi Mardi, Azman Ismail dan Ketua Pengarah Mardi, Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Media sebelum ini melaporkan berlaku kenaikan harga santan segar secara mendadak, Ia susulan kekurangan bekalan kelapa tempatan sehingga menyebabkannya dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.

Difahamkan, faktor cuaca tidak menentu sejak tiga bulan lepas menjadi punca yang menjejaskan pengeluaran di ladang tempatan dan negara pengeksport.

Mengulas lanjut Mohamad berkata bagi menstabilkan bekalan, pihaknya telah berunding dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) supaya dapat membawa masuk kelapa daripada luar khasnya Indonesia.

FAMA menerusi anak syarikat Famaco telah meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan bermula Disember berbanding 180 metrik tan sebelum ini.

Related Articles

Back to top button