Negeri

RM3 juta untuk perkasa program keagamaan di Selangor tahun depan

Lebih RM3 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan lebih banyak program keilmuwan dan keagamaan di Selangor pada tahun hadapan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor mahu menjadi benteng dalam mempertahankan syiar Islam di negara ini menerusi penganjuran berterusan program berunsur kerohanian termasuk Turath Islami yang menjadi pengisian penting Kerajaan Negeri bagi menyuburkan agama Islam di samping membangunkan sisi rohani rakyat di negeri itu.

“Kita ingin membangunkan negara dan negeri ini bukan hanya dengan bangunan agam dan mewah, tetapi kita juga mahu membangunkan manusia … satu daripada caranya adalah dengan menyentuh serta menyuburkan hatinya dengan iman dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

“Justeru, program pengajian seperti turath akan menjadi salah satu daripada pengisian penting Kerajaan Negeri,” kata menerusi ucapan pembukaan Festival Darul Ehsan Berselawat 2024 di Shah Alam.

Festival Darul Ehsan Berselawat 2024 merupakan majlis munajat, zikir dan berselawat berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat dari 4 petang hingga 12 tengah malam dan kemasukan adalah percuma.

Diadakan sempena ambang tahun baharu, ia menampilkan antaranya Dr Habib Luthfi Ali Yahya, iaitu agamawan dari Indonesia dan Habib Nael Ben Taher serta Habib Najmuddin Al-Khered.

Kerajaan negeri telah menganjurkan Festival Turath Islami Selangor kali kedua pada 26 Mei hingga 2 Jun lepas melibatkan 11 acara antaranya program Daurah Hadis 40, Pameran Al Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu, syarahan, Munaqasyah Ilmiah dan program selawat selain penglibatan 23 ulama serta ilmuwan Islam dari dalam dan luar negara.

Related Articles

Back to top button