Nahas Jeju Air: PM Anwar rakam takziah kepada keluarga mangsa
Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili seluruh rakyat Malaysia, merakamkan ucapan takziah susulan nahas pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pada Ahad.
Perdana Menteri menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, beliau amat sedih atas tragedi yang mengorbankan banyak nyawa itu, dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Korea Selatan serta Thailand pada waktu duka berkenaan.
“Fikiran saya bersama keluarga dan insan tersayang mereka yang kehilangan nyawa dalam tragedi menyayat hati ini.
“Kehilangan yang mengerikan ini mengingatkan kita betapa berharga dan rapuhnya hidup,” katanya.
Terdahulu pesawat Jeju Air Penerbangan 7C2216 dari Bangkok, Thailand yang membawa 181 orang terbakar selepas terbabas dari landasan dan melanggar dinding di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan susulan masalah gear pendaratan.
Agensi Berita Yonhap yang memetik pihak berkuasa melaporkan, dua mangsa terselamat dan 85 mangsa telah disahkan maut, manakala baki yang belum ditemui dianggap sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Kementerian Luar menerusi kenyataanya mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam nahas pesawat tersebut.