Kawalan sempadan diperkukuh, kesejahteraan rakyat terus dilindungi – Menteri KDN
Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan di seluruh negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dilindungi.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kewujudan `lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand adalah satu cabaran besar dalam menangani jenayah rentas sempadan.
Justeru pihaknya kini sedang menjalankan inisiatif menyediakan solusi menggunakan teknologi dengan kos yang lebih rendah berbanding pembinaan tembok bagi menangani jenayah seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“Keutamaannya ketika ini adalah bagi memastikan setiap langkah yang diambil melalui teknologi hingga kerjasama antarabangsa, mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat,” katanya.
Saifuddin sementara itu berkata, aspek kebajikan anggota turut diberi perhatian kementeriannya dalam memastikan keselamatan sempadan negara terjamin.
“Kekuatan sebenar bermula dengan mereka (anggota) yang menjaga sempadan kita. Di Padang Besar, Perlis, kami telah menyiapkan projek perumahan untuk anggota keselamatan, lengkap dengan kemudahan seperti masjid, dewan serbaguna, dan taman permainan.
“Ini bukan hanya pelaburan dalam keselamatan negara tetapi juga dalam kebajikan mereka yang bertugas menjaga kita semua,” katanya sambil memaklumkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) juga bakal memulakan operasi mereka di Rantau Panjang, Kelantan.
“Insya-Allah, ini akan meningkatkan lagi kekuatan KDN melindungi sempadan Malaysia. Keselamatan sempadan negara adalah keutamaan saya semenjak dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri,” tambahnya.